Monday, November 7, 2011

DASAR MBMMBI

          Mulai tahun 2011 ini Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memperkenalkan dasar MBMMBI di seluruh sekolah di Malaysia. Sehubungan itu juga, mulai 2011 semua murid sekolah kebangsaan (SK) akan belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu (BM) dan murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Cina (SJK Tamil dan SJK Cina) akan belajar Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda masing-masing. Ini bermakna murid SJK(T) akan belajar sains dan Matematik dalam Bahasa Tamil dan murid SJK(C) akan belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Mandarin.
          Hasrat kerajaan untuk memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris (BI) dalam kalangan murid sekolah akan diperkuatkan melalui pelaksanaan dasar MBMMBI ini. Dasar baharu ini adalah bagi mengganti dasar PPSMI yang telah dimansuhkan. Dasar ini juga mengambil kira Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang perlu dikuasai oleh semua warga negara Malaysia. Bagi saya, ini adalah satu dasar yang adil dan perlu didokong oleh semua warga guru dan masyarakat Malaysia keseluruhannya.
         Memartabatkan Bahasa Melayu bermaksud meletakkan Bahasa Melayu pada tempat yang sepatutnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia. Bahasa Melayu juga merupakan bahasa pengantar utama pendidikan berdasarkan Akta Pendidikan 1996. Manakala, memperkukuh Bahasa Inggeris pula membawa maksud memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa yang wajib dipelajari, bahasa komunikasi dan bahasa ilmu di peringkat nasional dan antarabangsa.
        Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan bermula pada tahun 2012 adalah satu dasar baru yang merupakan sebahagian daripada proses penambahbaikan berterusan dasar pendidikan di negara kita. Kementerian Pelajaran sedang melakukan persiapan untuk melaksanakan dasar ini dengan sebaik mungkin tanpa menjejaskan pencapaian pelajar-pelajar yang akan terlibat dalam proses transisi pada tahun 2012 nanti.
        Pelaksanaan dasar ini bermula pada tahun 2012 bagi pelajar-pelajar Tahun 1, Tahun 4, Tingkatan 1 dan Tingkatan 4. Tujuan utama memartabatkan Bahasa Melayu adalah kerana Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan, bahasa perhubungan utama dan bahasa ilmu ke arah membina negara bangsa untuk mencapai hasrat 1 Malaysia. Manakala, tujuan utama memperkukuh Bahasa Inggeris adalah kerana Bahasa Inggeris merupakan bahasa komunikasi antarabangsa yang perlu dikuasai dengan baik dan berkesan bagi membolehkan penerokaan pelbagai ilmu untuk bersaing di peringkat nasional dan global.

No comments:

Post a Comment